Kini, beberapa keping imej gambar sebenar versi produksi Honda Civic 2022 telah pun didedahkan menerusi laman web automotif China, dan ia dilihat menampilkan sedikit perbezaan rekaan jika dibandingkan dengan Civic Prototype.
Perbezaan yang ketara boleh dilihat menerusi penampilan muncung atas gril hadapan yang dilihat lebih tinggi berbanding muncung pada Civic Prototype yang lebih menirus ke bawah.
Tatkala Honda Civic Prototype 2022 tidak menampilkan sebarang kehadiran lampu kabus, versi produksi Honda Civic 2022 pula menunjukkan kehadiran unit lampu kabus, dengan rekaan perumah yang sedikit berbeza.
Rekaan jeriji mesh pada bahagian bampar juga nyata lebih minimalis berbanding penampilan yang lebih sporti pada Civic Prototype.
Selain daripada itu, kedudukan cermin sisi juga dilihat beralih daripada hujung tiang A kepada panel pintu, sementara lampu belakang mengekalkan unit yang sama seperti yang terdapat pada Civic Prototype.
Berdasarkan penawaran aksesori yang disenaraikan, berkemungkinan besar Civic 2022 ini merupakan model khas yang didatangkan dengan kemasan hitam berkilat pada rim aloi, pemegang pintu, antena sirip jerung, kemasan pada tiang A, B, dan C, serta spoiler trunk belakang.
Setakat ini, Honda tidak mendedahkan secara rasmi tarikh sebenar pelancaran sedan generasi ke-11 Honda Civic 2022.