Terbaharu, syarikat Alpha telah melancarkan sebuah trak pikap berkuasa elektrik yang dikenali sebagai Wolf.
Dari segi dimensi, Alpha Wolf membawakan ukuran yang sedikit kecil berbanding Ford Ranger, dengan panjang 4,775 mm, lebar 1,930 mm dan tinggi 1,676 mm sementara saiz bed kargo pula adalah sepanjang 1,651 mm yang mampu memuatkan sehingga 977 liter barangan.
Storan tambahan boleh didapati pada bahagian 'ruang enjin' hadapan yang kita lebih kenali sebagai frunk.
Alpha Wolf dibangunkan atas pelantar yang sama digunakan pada model JAX, dengan pek bateri berkapasiti 75-85 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 443 km, manakala motor elektrik pula boleh diposisikan pada gandar hadapan, atau didatangkan dengan konfigurasi pacuan semua roda.
Alpha turut mensasarkan pecutan dari 0-96 km/j mengambil masa sekitar 6.2 saat dan keupayaan menunda sehingga 1,360 kg, angka yang biasa didapati pada kebanyakan trak pikap saiz sederhana.
Alpha Wolf juga turut digambarkan mempunyai panel solar yang besar untuk melindungi bahagian bed trak, memberikan petunjuk bahawa ia boleh digunakan untuk mengecas bateri sekiranya terpaksa melakukan tugas di luar daripada rangkaian grid nasional.
Rupa luaran Alpha Wolf ini mengingatkan kita kepada model trak pikap Toyota SR5 1985 yang digunakan oleh Marty McFly (Back To The Future) dengan kehadiran bar lampu bumbung serta rekaan keseluruhan yang masih mengekalkan elemen kotak.
Sementara ruang dalaman pula tampil minimalis dengan kehadiran dua skrin paparan berbentuk tablet, roda stereng yang ringkas, kehadiran slot pengecasan yang mencukupi serta ruang storan untuk penyimpanan barang.