Geran kenderaan plug-in yang telah disemak semula itu disasarkan kepada kenderaan elektrik bernilai bawah £35,000 dengan subdisi yang dihadkan kepada £2,500 sahaja untuk setiap kenderaan.
Oleh sebab itu, harga jualan Nissan LEAF kini bermula dari £25,995 (RM148,576) setelah subsidi dengan penjimatan sebanyak £1,350 (RM7,716), tanpa mengorbankan spesifikasi standard seperti rim aloi 16 inci, kawalan iklim, kluster instrumen digital tujuh inci dan sistem infotainmen lapan inci.
Sementara model-model N-Connecta, 10 Special Version dan Tekna LEAF turut menikmati penurunan harga, masing-masing bermula dari £27,995 (RM160,007), £28,670 (RM163,886) dan £29,995 (RM171,439) termasuk geran plug-in yang disebutkan tadi.
Nissan LEAF didatangkan dengan motor elektrik berkuasa 148 hp dan pek bateri 40 kWH yang menawarkan jarak operasi maksimum 270 km, selain menyokong pengecasan pantas DC 50 kW yang mampu mengisi tenaga bateri sehingga 80 peratus dalam tempoh 60 minit sahaja.
Sementara model Leaf e+ (N-Connecta dan Tekna) pula didatangkan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, 214 hp dan pek bateri 63 kWh yang menawarkan jarak operasi sejauh 385 km, dengan masa pengecasan 80 peratus dalam masa 90 minit.