Beliau menjelaskan bahawa pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019, di mana Perodua menjual 105,745 unit dalam lima bulan pertama tahun tersebut, iaitu 8.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun ini.
“Kesan pandemik dan isu kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12 peratus daripada 20,399 unit pada April kepada 17,973 unit pada Mei.
“Walaupun berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut, sekiranya tidak berlaku ketidakpastian tambahan, kami percaya bahawa kami mampu mencapai sasaran 240,000 unit kami bagi tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model kami,” ujar Dato’ Zainal.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini, sekaligus membantu kami menampung permintaan, menggalakkan aktiviti ekonomi serta membantu mengekalkan ekosistem automotif Malaysia.
Mengenai operasi pusat servis Perodua dalam tempoh sekatan ini, Dato’ Zainal berkata bahawa para pelanggan boleh menghubungi pusat servis yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Bagi penghantaran kenderaan baharu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami yang dihargai atas kefahaman dan kesabaran mereka dalam menunggu kenderaan Perodua mereka,” tambah beliau.
Perodua telah menghasilkan 18,283 kenderaan pada Mei, meningkatkan jumlah pengeluarannya setakat tahun ini kepada 98,944 unit.