"Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.
"Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan), banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.
"SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram semalam.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan 'dalam beberapa minggu lagi'.
Ismail Sabri dilaporkan berkata, ini kerana, sehingga Rabu lalu, 81 peratus populasi dewasa dalam negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, disiplin orang ramai akan menjadi elemen paling penting apabila kebenaran rentas negeri diberikan.
"Adalah mustahil untuk kerajaan pantau dan laksanakan SOP menjaga setiap rakyat yang diberi kebenaran merentas negeri.
"Sebab itu disiplin orang ramai amat penting apabila menikmati kelonggaran yang bakal diumumkan.
"Kita harap mereka patuh kepada SOP yang ditentukan nanti," katanya.