Navi digerakkan enjin 109.2cc, silinder tunggal, dua injap dengan overhead-camshaft empat lejang yang dicondongkan ke arah 80 darjah.
Ukuran bore dan stroke ialah 55.0 mm dan 55.6 mm dengan nisbah mampatan 9.5:1.
Navi menggunakan karburator 16 mm dan kuasa enjin dipindahkan ke roda dengan transmisi automatik V-Matic.
Walaupun menggunakan karburator, enjin Navi mempunyai teknologi eSP yang dapat mengurangkan geseran.
Teknologi itu menyumbang kepada penggunaan bahan bakar yang ekonomikal iaitu 46.8km/l (standard EPA) dengan tangki yang mempunyai kapasiti 3.4 liter.
Satu lagi ciri menarik Navi ialah gerakan brek belakang dibuat menggunakan tuas brek kaki kanan, berbeza dengan tuil brek tangan pada skuter.
Navi juga tidak mempunyai pelantar untuk merehatkan kaki dan anda perlu menunggangnya seperti motosikal bergear.
Enjin di belakang juga bermakna ada ruang di kosong ditinggalkan di bahagian depan.
Ruang itu dimanfaatkan dengan kotak boleh kunci untuk memuatkan pelbagai jenis barangan seperti jaket, botol air, sarung tangan dan apa sahaja yang difikirkan perlu.
Dari segi reka bentuk, panel badan Navi nampak seperti model CRF dan walaupun nampak comel masih kelihatan garang.
Ada empat warna ditawarkan iaitu Merah, Grasshopper Green, Nut Brown dan Ranger Green.
Navi dilengkapi suspensi teleskopik 26.8 mm di depan dan suspensi tunggal pada sisi enjin. Saiz roda depan ialah 12 inci dan 10 inci di belakang.
Tugas memperlahankan dan menghentikan diberi pada brek jenis gelendong saiz 130 mm di depan dan belakang. Tuil pada sebelah kiri hendal pula untuk brek parkir.
Dari segi ukuran, jarak di antara roda ialah 50.6 inci dengan ketinggian kerusi 30.1 inci dan motosikal ini hanya seberat 107 kg.
Bukan sahaja mudah untuk ditunggang, Navi juga boleh dimuatkan di belakang pikap.
Selain praktikaliti, pemilik Navi hanya perlu menukar minyak pada setiap 4,000 km dan penapis udara pula ditukar setiap 16,000 km.
Bagaimana dengan harga? Honda Navi ditawarkan pada $1,807 sahaja atau bersamaan RM7,555.
Penulis: Muhammad Md Tajudin