Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pihaknya sedang menunggu prosedur daripada kerajaan Pusat terutamanya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membuka kilang pemasangan berkenaan.
Jelas beliau, ini kerana Malaysia masih belum mempunyai kilang pemasangan EV, maka, sebab itulah ia memerlukan garis panduan baharu.
“Di samping itu, para pelabur juga boleh mendapat insentif-insentif daripada kerajaan Pusat berdasarkan garis panduan sebelum ini.
“Kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan baharu dan meneliti semua dapatan hasil kajian yang diperlukan oleh syarikat-syarikat yang berminat bagi membuka kilang di negeri ini.
“Insya-Allah, ia akan mengambil masa sedikit kerana memerlukan kawasan yang luas serta kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh semalam.