Ini diterangkan secara ringkas oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad kepada Careta ketika majlis perasmian Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua semalam.
Menurut Zainal, sumber dana itu terbina di dalam setiap kos model-model kenderaan yang dijual oleh Perodua dan ia digunakan khusus untuk membantu vendor-vendor mereka yang sedang mengalami masalah.
Antara contoh yang diberikan ialah bagaimana Perodua menggunakan dana itu untuk membantu vendor-vendor mereka yang terkesan dengan banjir di Lembah Klang tahun lalu.
Zainal juga menekankan bahawa ia tidak hanya terbatas kepada vendor-vendor yang membekalkan komponen khusus kepada Perodua sahaja.
"Bantuan disalurkan kepada mana-mana vendor yang kami dapati terkesan, walaupun vendor itu turut membekalkan komponen kepada syarikat automotif lain seperti Proton," terang beliau.
Menurutnya lagi, bantuan itu akan memastikan vendor itu kembali beroperasi dengan segera dan secara tidak langsung akan mengurangkan risiko pengeluaran Perodua dari terkesan.
Perodua juga menggunakan dana yang sama untuk membantu vendor dalam meningkatkan proses pengeluaran dan kualiti mereka untuk mencapai tahap mutu yang diperlukan olehnya.
"Kualiti adalah antara tunjang utama Perodua dan kami mahu pastikan vendor-vendor kami terus maju ke hadapan dengan standard kualiti Perodua," ujarnya.
Perodua dipercayai adalah satu-satunya syarikat automotif negara yang mempunyai dana khusus untuk membantu vendor-vendornya dan terkini ia berganding bahu dengan agensi kerajaan, MIDA untuk meningkatkan lagi mutu penghasilan vendor-vendor dengan proses digitalisasi sempena industri 4.0.