Laporan FMT hari ini memetik kata-kata Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof yang mengarahkan supaya pihak Prolintas mengambil langkah tersebut susulan kes kemalangan yang berlaku baru-baru ini.
“Saya mengarahkan Prolintas memasang pembesar suara di kawasan yang dikenal pasti sebagai tumpuan untuk menikmati pemandangan Kuala Lumpur bagi membantu kamera yang sudah sedia dipasang di SUKE,” katanya kepada FMT.
Fadillah berkata, pemasangan pembesar suara dan paparan mesej elektronik itu akan meningkatkan pengawasan di kawasan tumpuan untuk menikmati pemandangan yang dianggap bahaya kepada keselamatan.
“Pekerja yang memantau kamera keselamatan boleh memberi amaran menggunakan pembesar suara dan menghantar mesej menerusi paparan elektronik kepada pengguna yang berhenti dan mengarahkan mereka beredar.
“Prosedur ini hampir sama seperti diamalkan di beberapa bandar di Indonesia dan Jepun. Saya juga meminta Prolintas bekerjasama rapat dengan polis untuk meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.
Tiga hari yang lalu, seorang penunggang motosikal cedera selepas merempuh sebuah Perodua Myvi berwarna kuning yang sengaja berhenti di laluan kecemasan berdekatan plaza tol Bukit Teratai.
Menurut pihak polis, pemandu Myvi itu berhenti di lorong kecemasan semata-mata untuk mengambil gambar pemandangan.
Sumber: FMT