Program tanggungjawab sosial korporat ini adalah kesinambungan daripada Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS) yang diperkenalkan pada suku keempat 2021, dengan sasaran untuk menanam sebanyak 300,000 pokok menjelang akhir 2023.
Sejak pelancaran inisiatif berkenaan sehingga kini, kira-kira 174,000 pokok telah ditanam dan baki 133,000 pokok lagi dijangka akan ditanam menjelang akhir tahun ini.
Kira-kira 120 sukarelawan Perodua terlibat di dalam program yang berlangsung selama sehari itu. Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Cik Noor Zakiyah Hasan dan Pengurus Besar Divisyen Perhubungan dan Komunikasi Korporat, Puan Sulasi Haji Mahadi.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato' Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua kini sedang melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan program seumpama ini adalah penting kerana ia mencerminkan komitmen syarikat ke arah mencapai matlamat tersebut.
“Acara penanaman pokok ini juga berkaitan dengan salah satu matlamat SDG iaitu matlamat nombor 15, Hidupan Atas Darat. Objektifnya adalah untuk mencegah kehilangan biodiversiti, menghentikan degradasi tanah, menghentikan penggurunan, melindungi, memulih, dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem darat serta mengurus hutan secara mampan.
“Justeru, aktiviti penanaman pokok anjuran Perodua ini dapat membantu menyebarkan lebih banyak kesedaran untuk memulihara bumi,” katanya.