Selain itu, katanya, ia tidak memberi motivasi syarikat penerbangan yang mungkin mengambil langkah mengurangkan kapasiti penumpang.
Apa yang dilakukan kementerian, jelasnya, adalah langkah intervensi terpilih termasuk pada musim perayaan dan kemudahan baucar kepada pelajar Sabah dan Sarawak di Semenanjung.
"Jika kita letak harga siling, harga tiket yang sepatutnya murah pada waktu puncak boleh menjadi lebih tinggi.
"Sebab itu kita buat intervensi terpilih, bukan buat dasar pukul rata dan ia akan memberikan kesan jangka panjang," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Loke berkata, pada musim perayaan, pihaknya menggalakkan syarikat penerbangan melakukan penerbangan tengah malam dan ia akan diteruskan pada musim perayaan akan datang.
"Mereka akan tambah penerbangan. Lapangan terbang dibuka sampai larut malam dan kita akan beri kemudahan dari segi menara trafik.
"Selain itu, untuk musim perayaan akan datang, kita akan buat seperti ketika musim perayaan Hari Gawai sebelum ini, yang mana kita beli kerusi yang belum terjual dan minta syarikat penerbangan jual kerusi itu pada harga tetap," katanya.
Mengenai peningkatan harga tiket penerbangan baru-baru ini, Loke berkata, ia antara lain disebabkan syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines dan AirAsia 'menyerap' penumpang daripada MYAirline.
"Apabila operasi MYAirline ditutup bulan lalu, penumpang perlu mencari alternatif. Syarikat penerbangan ini 'menyerap' dan memberikan diskaun kepada penumpang yang sudah membeli tiket MYAirline.
"Sebab itu pada bulan ini, kesannya adalah permintaan lebih tinggi. Saya memantau perkara ini dan pastikan syarikat penerbangan tidak menjual pada harga terlalu tinggi sehingga rakyat tidak mampu membelinya," katanya.