"Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada jam 9 pagi Jumaat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
9 November lalu, mangsa berumur dua tahun itu maut setelah ditinggalkan ibunya lebih tujuh jam dalam kereta di kawasan perumahan Ara Damansara dekat Petaling Jaya.
Siasatan dijalankan mendapati kira-kira jam 7 pagi, suspek turut membawa dua anaknya bersama mangsa untuk dihantar ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika untuk menghantar mangsa.
Bagaimanapun ketika suspek tiba di tadika, dia kemudiannya berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa untuk menurunkan mangsa.
Suspek kemudiannya terus bergerak pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa berada dalam kenderaan yang dipandunya itu.
Suspek hanya menyedari mangsa berada dalam kereta kira-kira jam 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.