Daripada dua model tersebut, kita dapat melihat penampilan logo "H" baharu Honda yang bakal digunakan pada model-model EV akan datang.
Menurut Honda, rekaan H baharu itu melambangkan "sepasang tangan yang dihulurkan" yang mencerminkan komitmen Honda untuk memperluaskan kemungkinan mobiliti dan berterusan memenuhi keperluan pelanggannya.
Salah satu model yang dipamerkan ialah Saloon Concept dengan rekaan yang diinspirasikan daripada supercar berbentuk baji era 70-an.
Honda mengesahkan Saloon Concept akan menjadi sumber inspirasi untuk model sulung 0 Series yang akan muncul di tahun 2026 di pasaran Amerika Utara, Jepun, Asia, Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Selatan.
Tidak banyak info didedahkan, melainkan ia duduk di atas platform baharu EV, ruang kabin yang lebar, panel instrumen berasaskan antaramuka manusia-mesin (HMI), sistem stereng steer-by-wire, dan sistem pengurusan kawalan pergerakan.
Pintu berbentuk gull-wing itu berkemungkinan besar akan digantikan dengan rekaan pintu yang lebih konvensional.
Sebuah lagi model ialah Space-Hub Concept, dengan rekaan yang mengingatkan kita kepada model minivan Hyundai Staria dan Li Auto Mega.
Buat masa ini, Honda mengesahkan tiada perancangan untuk menghasilkan model Space-Hub, namun elemen yang wujud pada minivan ini mungkin akan dibawakan menerusi model produksi 0 Series.
Minivan futuristik ini membawakan bumbung kaca yang luas, susun atur tempat duduk yang fleksibel, namun tanpa sebarang bukaan tingkap pada bahagian belakang.