Volkswagen ID.3 GTX
Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan ID.3 GTX Performance.
Kedua-dua varian digerakkan motor elektrik (PSM) baharu AP550 dengan masing-masing berkuasa 210 kilowatt (kW) dan 240 kW dengan tork 545Nm.
Prestasi itu meletakkan GTX lebih tangkas daripada enjin turbo V6 VW dan sebagai perbandingan, ID.3 standard memiliki kuasa 150 kW dan tork 310Nm.
ID.3 GTX memerlukan enam saat untuk memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) manakala GTX Performance 0.4 saat lebih pantas.
Kelajuan tertinggi GTX dihadkan kepada 180 km/j manakala pemandu GTX Performance diizinkan untuk memecut sehingga 200 km/j.
Kedua-duanya mengatasi ID.3 standard dengan kelajuan 160 km/j.
Motor elektrik GTX dikuasakan bateri litium-ion baharu dengan kapasiti bersih 79 kWj (84 kWj kasar).
Bateri boleh dicas menggunakan kuasa sehingga 175 kW di pusat pengecasan pantas DC dengan penambahan tenaga dari 10 sehingga 80 peratus sekitar 26 minit.
Jarak pemanduan (gabungan WLTP) dijangka sehingga 600 km.
Dari segi pengendalian, ID.3 GTX istimewa dengan kawalan casis adaptif DCC yang telah diubah suai.
Pemandu mempunyai lebih banyak pilihan untuk menetapkan pengendalian, di antara keselesaan tinggi sehingga tindak balas dinamik maksimum.
Seperkara lagi, motor elektrik ID.3 GTX ditempatkan di bahagian belakang menjadikannya hatchback pacuan roda belakang (RWD).
Dari segi rekaan, GTX tampil dengan identiti sendiri seperti bampar depan, lampu nyalaan siang, skirt sisi, rim 20 inci Skagen dan peresap belakang.
Sama seperti GTI, GTX dibuat kemas dan tidak berlebihan walaupun memiliki kuasa tinggi dan dapat disaksikan lembaran EV sporti yang dibuka VW.
Bahagian dalam kereta tampil ringkas kecuali skrin besar saiz 12.9 inci.
Dalaman yang gelap diriasai jaluran merah pada kerusi, papan pemuka dan stereng.
Volkswagen ID.7 GTX Tourer
Wagon atau estate ID.7 baru sahaja dilancar pada Februari dan VW tidak menunggu lama untuk memperkenalkan GTX Tourer.
Berbeza daripada ID.3 GTX, wagon ini dibekalkan motor AP550 (PSM) di belakang dan AKA150 (ASM) dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION.
Penampilan ID.7 GTX pula mirip ID.3 GTX dan membentuk identiti GTX tersendiri. Lampu besar IQ.LIGHT LED matrik dijadikan kelengkapan asas.
Warna merah yang menyerlah diberi nama Kings Red Metallic. Bahagian dalam meriah dengan riasan merah dan kerusi depan mempunyai fungsi pemanas.
Sebagai sebuah wagon, pemilik diberikan ruang belakang sehingga 1,714 liter (paras bumbung) atau 605 liter dengan tetapan kerusi menegak (paras penyandar kerusi).
Kedua-dua motor ID.7 GTX Tourer menghasilkan 250 kW atau 40 kW lebih tinggi daripada ID.7 Tourer Pro.
Motor AP550 memiliki kuasa 210 kW manakala motor depan AKA150 berkuasa 80 kW. Kelajuan dihadkan kepada 180 km/j.
Motor depan dan belakang dikuasakan bateri litium-ion baharu dan paling besar setakat ini dengan kandungan bersih 86 kWj (91 kWj kasar).
Sebagai perbandingan, ID.7 Tourer Pro pacuan belakang menggunakan bateri 77 kWj (bersih) dengan 12 modul berbanding 13 pada ID.7 GTX Tourer.
Bateri baharu itu boleh dicas sehingga 200 kW di pusat pengecasan pantas DC. Di dalam keadaan bersesuaian, penambahan tenaga dari 10 sehingga 80 peratus di bawah 30 minit.
Dari segi pemanduan dan pengendalian VW membuat penalaan pada perkakasan pacuan selari dengan kuasa baharu yang lebih tinggi termasuk dilengkapi penstabil yang lebih kuat.
Sistem kawalan casis adaptif DCC yang diubah suai dijadikan pilihan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin