"Iaitu purata 18 kematian akibat jalan raya setiap hari, bersamaan setiap 80 minit ada seorang yang meninggal dunia. Daripada jumlah itu, hampir dua pertiga adalah kemalangan membabitkan motosikal iaitu 4,480 kematian disebabkan kemalangan motosikal," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
"Untuk motosikal, purata kematian adalah daripada 18 kematian sehari, 12 kematian itu adalah membabitkan motosikal. Bermaksud hampir setiap dua jam ada kemalangan maut membabitkan motosikal," katanya.
Berikutan itu, katanya, kementerian akan menyiarkan statistik kes kematian akibat kemalangan secara 'real time' setiap hari, sebagai langkah baharu bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai.
Katanya, tindakan akan dilaksana dalam masa terdekat, dengan pelaporan yang akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, adalah sama seperti pelaporan kes harian jangkitan COVID-19 sebelum ini.
"Akan dilaksana dalam masa terdekat. Hari ini sudah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya. Setiap hari maklumat kemalangan jalan raya akan dikeluarkan secara 'real time' yang mengambil data pada hari sebelumnya.
"JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) akan menyelaras dengan PDRM untuk menentukan kaedah pelaporan itu nanti," katanya.
Beliau berkata, menerusi langkah itu, orang ramai akan melihat sendiri data kes kematian akibat kemalangan secara harian, yang ketika ini menjadi penyumbang utama kadar kematian di negara ini.
"Apa yang kerajaan mahu laksana adalah meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa kemalangan jalan raya adalah punca utama kematian. Ia mesti diambil serius oleh semua pihak kerana ia kadang-kadang membabitkan kecuaian oleh pemandu sendiri.
"Kita akan menjadikan dasar ini supaya media massa juga dapat memaparkan liputan terhadap angka-angka ini. Pihak kerajaan harapkan kerjasama dengan media untuk sampaikan angka-angka (kes harian kematian akibat kemalangan) ini kepada orang ramai," katanya.
Berbeza sebelum ini, Anthony berkata pelaporan kes kematian akibat kemalangan adalah berdasarkan data-data yang dikumpul dalam tempoh setahun.