Menurut Datuk Dr Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales yang Careta hubungi sebentar tadi menerangkan bahawa kakitangan Perodua akan berada di tiga lokasi di tiga lebuhraya utama - hala utara, selatan dan pantai timur esok (Selasa 12 Jun 2018).
"Mereka akan memilih pemilik Perodua secara rawak di lokasi-lokasi tersebut. Keutamaan ialah kenderaan Perodua yang membawa kanak-kanak tanpa tempat duduk yang sesuai," ujar Zahari.
Menurut laman web Paultan.org, lokasi-lokasi tersebut dipercayai ialah stesen minyak Petronas dan sejumlah 100 unit tempat duduk bayi itu akan dibahagikan kepada ketiga-tiga stesen tersebut.
Tempat duduk bayi Gear Up berharga dari RM623 untuk bayi dan RM736 untuk kanak-kanak. Kesemuanya lengkap dengan sistem pemasangan Isofix dan harga tersebut sah sehingga 30 Jun.