Tidak sekadar sedan premium, Acura menghangatkan tawaran dengan memperkenalkan TLX Type S pada 2021.
Lebih eksklusif, Acura memperkenalkan TLX Type S PMC Edition pada Julai 2022 dan dihadkan kepada 300 unit sahaja untuk pasaran Amerika Syarikat.
PMC merujuk kepada Pusat Pengeluaran Prestasi di Ohio yang juga mengeluarkan kereta super NSX.
Malah, TLX Type S PMC Edition adalah hasil tangan juruteknik pakar (master technician) yang turut memasang NSX Type S.
Daripada 300 unit yang ditawarkan, setiap 100 unit dibuat dalam warna sama seperti NSX dan dibahagikan kepada Curva Red, 130R White dan Long Beach Blue.
Tarikh tempahan pula disusun dengan Curva Red pada 6 Oktober, 130R White pada 9 November dan Long Beach Blue pada 8 Disember.
Warna dalaman untuk ketiga-tiga model juga tidak sama iaitu Ebony (hitam keperangan) untuk Curva Red, merah untuk 130R White dan orkid untuk Long Beach Blue.
Ciri lain pada edisi terhad ini ialah Berlina Black untuk bumbung, antena dan pembuka pintu. Empat muncung ekzos dibuat dalam warna hitam krom.
Spoiler dan peresap belakang gentian karbon dalam kemasan kilat manakala bahagian bawah skirt sisi dan logo berwarna hitam kilat.
Roda saiz 20 inci dengan rongga Y pula dilayangkan warna tembaga dan pertama kali digunakan untuk model Acura.
Di sebalik roda depan ialah brek depan Brembo® yang merah menyala dan membalut roda ialah tayar musim panas Pirelli P-Zero saiz 255/35.
Pada bahagian dalam, model ini dipasang panel kemasan gentian karbon, pelapik ambang pintu bercahaya, dan alas kaki premium dengan logo Type S.
Kerusi dibalut kulit Milano dengan riasan Ultrasuede® dan plat nombor siri dilekatkan pada konsol tengah.
Pemandu mengendalikan kereta melalui stereng rata bawah dan mempunyai fungsi pemanas.
Menghiburkan pemandu dan penumpang ialah sistem audio premium ELS STUDIO 3D® dengan 17 pembesar suara.
Paparan skrin 10.2 inci dioperasikan melalui True Touchpad Interface™.
Menggerakkan TLX Type S PMC Edition ialah enjin 3.0 liter V6 turbo berkuasa 355 hp dan daya kilas 480 Nm dari serendah 1,400 rpm.
Enjin 3.0 turbo ini tidak dipasang pada TLX standard dan eksklusif untuk TLX Type S dan dipadan bersama transmisi automatik sepuluh kelajuan.
Enjin ini diperbuat daripada aluminium, menggunakan pancitan jenis terus, turbo twin scroll tunggal dan Variable Timing Control™ (VTC™) pada kedua-dua aci kemasukan dan ekzos.
Dari segi pengendalian, kereta ini menggunakan pacuan Super Handling All-Wheel Drive™ (SH-AWD®) dengan torque-vectoring.
Harga akhir belum didedahkan kecuali nilai jangkaan dalam lingkungan AS$60,000 (RM282,120) hingga AS$65,000 (RM305,630) untuk sebuah sedan premium edisi terhad.
Satu lagi keistimewaan, setiap unit TLX Type S PMC Edition akan dibalut menggunakan penutup kereta khas bagi melindungi cat semasa penghantaran.
Setiap unit juga dihantar ke pengedar Acura menggunakan pengangkut kereta tunggal.
Penulis: Muhammad Md Tajudin