Selain berpotensi untuk meredah laluan-laluan off-road, Suzuki Jimny juga sebenarnya boleh diubahsuai menjadi sebuah kereta camper dengan satu penambahan khemah pada bahagian bumbung.

Khemah pop-up Canotier J3 ini dihasilkan oleh syarikat Jepun Kamado dan mempunyai berat sekitar 45 kg sahaja.
Ia diperbuat daripada bahan neoprene, bahan yang sama digunakan di dalam pembuatan baju hujan yang membolehkan ia menawarkan ciri kalis air serta mempunyai tahap pengekalan haba yang sangat baik, sesuai untuk kegunaan bermalam di tempat yang sejuk.
Cuma kekurangannya, khemah pop-up ini dibataskan dengan dimensi yang agak kecil mengikut dimensi bumbung Jimny tiga pintu.

Dengan ukuran sepanjang 2,100 mm, lebar 1,120 mm dan tinggi 970 mm, khemah pop-up ini, anda mungkin terpaksa berhimpit dengan pasangan semasa tidur bermalam.
Urusan naik dan turun daripada khemah bumbung ini dimudahkan dengan struktur tangga yang boleh dilipat.
Kamado Canotier J3 ini dijual pada harga bermula dari ¥770,000 (RM25,612) tidak termasuk kos untuk sebuah Suzuki Jimny tiga pintu, dan proses pemasangan hanya boleh dilakukan di Jepun sahaja menurut Kamado.

Mungkin syarikat ini bakal menghasilkan khemah bumbung yang lebih besar selepas Suzuki selesai melancarkan Jimny lima pintu pada bulan depan.