Serentak dengan pelancaran semula model Land Cruiser 70 Series di negara Matahari Terbit, divisyen Customizing & Development Toyota mengumumkan penawaran aksesori original Modellista untuk model SUV off-road retro tersebut.
Modellista turut bekerjasama dengan jenama barangan off-road terkenal JAOS dengan menawarkan JAOS Selected by Modellista.
Pakej luaran tersebut merangkumi kemasan bampar hadapan, pelindung bahagian bawah depan dan belakang, rak bumbung rata, serta dulang kargo.
Untuk menjadikan penampilan Land Cruiser 70 Series lebih menarik, Modellista turut menawarkan pakej rim aluminium bersaiz 18 inci dengan kemasan warna gangsa kusam, serta balutan tayar A/T.
Aksesori untuk ruang kabin pula merangkumi komponen seperti kemasan kayu pada papan pemuka, filem tinted Dark Smoke, lampu kabin LED, kusyen tote, serta bolt plet nombor pendaftaran.
Kesemua pakej aksesori Modellista yang disebutkan tadi dijual dengan julat harga bermula dari 6,050 yen hingga 440,000 yen (RM192 hingga RM13,983).