Audi pertimbang model trak pikap, model konsep bakal muncul kelak

oleh Mohamad Hanif|
gambar hiasan, sumber: Raleigh Haire
CEO Audi, Markus Duesmann dalam sidang media tahunan baru-baru ini mengesahkan pengeluar itu sedang mempertimbang untuk menambah sebuah model baharu dalam bentuk trak pikap ke dalam barisan model sedia ada.

Menurut laporan daripad Autocar, beliau menjawab soalan berhubung kemungkinan Audi akan hadir dengan model trak pikap pada masa akan datang.

"Saya tidak boleh janji, namun kami sedang menelitinya," jelas beliau.

Tiada sebarang butiran lanjut didedahkan, namun Duesmann menambah, "sebenarnya, kami akan memperlihatkan sesuatu - dalam masa terdekat" yang memberikan petunjuk Audi bakal hadir dengan sebuah model konsep kelak.
 

Amarok


Audi yang sangat terkenal dengan sistem pacuan semua roda Quattro itu sehingga kini masih tidak mempunyai sebarang model trak pikap.

Apa yang boleh Audi buat adalah menggunakan platform sedia ada daripada kumpulan Volkswagen, seperti contoh trak pikap VW Amarok yang sebenarnya berkongsi pelantar dengan Ford Ranger generasi baharu.

Ini membolehkan Audi mencabar pesaing-pesaing yang ada seperti Toyota Hilux, Isuzu D-Max serta Mitsubishi Triton.
 

AI:TRAil


Selain itu, Audi boleh mempergunakan platform EV sedia ada seperti MEB dan juga PPE dengan keupayaan pacuan semua roda, serta penawaran trenkuasa elektrik yang nampaknya lebih sesuai memandangkan Audi mahu menjadi sebuah jenama kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030.

Audi sebelum ini pernah muncul dengan sebuah model konsep off-road AI:Trail pada tahun 2019, menampilkan empat motor elektrik (satu untuk setiap roda), dengan kuasa gandingan 429 hp dan daya kilas 1,000 Nm, serta keupayaan pemanduan sejauh 500 km atau 250 km di laluan off-road.

Sumber: Autocar

Berita Berkenaan

Berita Global
Diess berkata komitmen dua jenama itu untuk Formula 1 akan hanya menguntungkan syarikat kerana itu…
Sukan Bermotor
Menerusi acara siaran langsung di YouTube "Dialog with Diess", beliau turut menyatakan Volkswagen…
Berita Global
Siri video yang terbahagi kepada enam bahagian itu bakal menampilkan sebuah Audi RS e-Tron GT yang…