Bayi lapan bulan maut tertinggal 10 jam dalam kereta

oleh Penyumbang Rencana|
Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas kira-kira 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut sumber, ibu mangsa yang juga seorang doktor tiba di hospital itu untuk bekerja dan tidak menyedari dia meninggalkan kanak-kanak itu, sehingga pukul 5.30 petang.
AION MREC Banner Campaign May 2024

"Wanita berkenaan menerima panggil telefon daripada suaminya jam 5.30 petang menyatakan anaknya tiada di taska dan selepas diperiksa sekali lagi oleh suaminya, wanita itu terus pergi ke tempat letak kenderaan iaitu lokasi keretanya diletakkan.

"Dia mendapati anaknya berada di kerusi bayi bahagian belakang dalam keadaan tidak bermaya lantas mengeluarkan mangsa untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya.

Sumber itu menambah, hasil rakaman percakapan bapa mangsa pula mendapati, dia telah datang ke taska dan mendapati mangsa tiada di situ.

Jelasnya, bapa mangsa telah menghubungi isterinya dan memaklumkan anaknya tiada di taska serta meminta isterinya pergi ke tempat letak kereta.

"Ketika bapa mangsa tiba di lokasi parkir kereta, dia mendapati isterinya sedang memberikan CPR kepada anaknya dan meminta isterinya membawa mangsa ke wad kecemasan untuk tindakan lanjut pada 5.35 petang," ujarnya.

Sumber itu berkata, bantuan pernafasan telah dilakukan selama enam minit tetapi mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan tanda-tanda hayat.

"Bayi itu telah disahkan meninggal dunia dan bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian," katanya.

Kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, ibu mangsa membawa bayi itu untuk dihantar ke taska.

"Mangsa diletakkan di bahagian belakang penumpang sebelah kiri kereta untuk dihantar ke taska tetapi ibu bayi berkenaan terus ke tempat kerja dengan anggapan mangsa telah pun dihantar ke taska.

"Ibu mangsa hanya menyedari anaknya masih berada dalam kereta pada petang hari yang sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska," katanya dalam satu kenyataan.

Zam Halim berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik disahkan meninggal dunia pada pukul 5.53 petang hari sama oleh pegawai perubatan HCTM.

Tambahnya, keterangan daripada ibu mangsa akan diambil selepas selesai urusan pengebumian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

-jadikan iktibar dan pengajaran kita semua-

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah malam tadi. Punca kematian belum…
Berita Global
Ibu bapa bayi malang tersebut, Ganesh dan Eshwaramma berkata, ketika kejadian pada Jumaat lalu,…
Berita Global
  Sebelum meninggalkan kereta, Darci bertindak mengikat anak patungnya, Elliot pada kerusi kereta…