Abjad tersebut sebenarnya merupakan singkatan kepada Turismo Internazionale, dan ia kembali hadir menerusi model terbaharu iaitu BMW 128ti 2021.
Jentera hot hatch pertama pacuan roda hadapan BMW ini diposisikan di bawah jentera M135i xDrive.
Sebagai sebuah hot hatch, BMW 128ti ini didatangkan dengan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang ditala supaya menghasilkan 261 kuasa kuda dan 400 Nm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada roda hadapan menerusi transmisi Steptronic Sport lapan nisbah kelajuan, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat sahaja.
Bagi memastikan hot hatch ini tidak dimalukan oleh pesaingnya, BMW telah melengkapkan 128ti ini dengan sistem suspensi M Sport yang merendahkan kereta sebanyak 10 mm, bar anti oleng yang lebih tegap, dan cagak bar anti-oleng yang diperoleh daripada M135i xDrive.
Jika dibandingkan dengan M135i xDrive, BMW 128ti ini memiliki berat 80 kg lebih ringan, ibarat anda menyuruh penumpang sebelah turun dari kereta.
Sistem pemberhentian kereta ini disumbangkan oleh brek M Sport yang lengkap dengan angkup brek berwarna merah, sementara set rim pula adalah 553 M bi-warna bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4.
Beberapa perubahan di bahagian luaran seperti trim Shadowline, gril buah pinggang berwarna hitam, perumah cermin sisi berwarna hitam, skirt sisi unik dan lencana ti.
Sementara ruang dalaman pula menampilkan elemen warna aksen merah, jahitan kontras merah pada roda stereng, panel pintu, perehat tangan, dan papan pemuka, serta jahitan lencana ti pada perehat tangan tengah.
Harga jualan BMW 128ti 2021 ini bermula dari €41,574 (RM202,990) untuk pasaran Jerman.