BMW M gugur penawaran DCT, BMW M2 model terakhir dengan kotak gear manual

oleh Mohamad Hanif|
Menghasilkan model-model berprestasi tinggi bukanlah satu masalah besar bagi BMW M, lihat sahaja penawaran barisan model masa kini yang mampu membuatkan setiap insan kecur air liur melihatnya.

Namun untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin mengecil mungkin satu halangan yang sukar, dan berdasarkan faktor tersebut mereka terpaksa melakukan keputusan yang sukar untuk diterima.

Dalam perkembangan terbaharu, BMW M bakal menggugurkan penawaran transmisi klac berkembar (DCT) dan digantikan dengan kotak gear automatik konvensional.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh ketua unit pembangunan BMW M, Dirk Hacker kepada laman Top Gear, baru-baru ini.
 

DCT


"Transmisi klac berkembar, daripada sudut pandang BMW M pada masa kini, sudah pun hilang. Ia kini (sama ada) manual atau automatik, dan automatik berelektrik untuk masa depan."

Perbincangan itu dibuat sewaktu pembangunan model M5 generasi baharu, di mana pasukan pembangun membuat keputusan untuk memilih transmisi automatik torque converter yang lebih selesa dipandu setiap hari, selain faktor kos pembangunan yang lebih menjimatkan.

"Kotak gear automatik mempunyai prestasi lebih baik berbanding klac berkembar. Dalam model M4 CSL, ia membuat penukaran gear yang lebih pantas, kami juga menggunakan transmisi ini pada jentera lumba M4 GTR.
 

BMW M2


Sementara itu, nasib transmisi manual juga semakin kelam di BMW M di mana beliau menjangkakan ia hanya akan bertahan dalam tempoh masa antara enam hingga tujuh tahun sahaja.

Tidak seperti Toyota, BMW tidak berhasrat untuk terus mengekalkan penawaran transmisi manual pada model berelektrik.

Ini bermakna BMW M2 merupakan model pantas terakhir BMW M yang wujud dengan transmisi manual, memandangkan model BMW M5 generasi baharu berkemungkinan besar hanya akan ditawarkan dengan kotak gear automatik sahaja.

Sumber: Top Gear

Berita Berkenaan

Informasi
Trend ke arah SUV pada tahun 2000-an di Amerika Syarikat hanyalah satu daripada banyak perubahan…
Informasi
Namun pada tahun 2009, Nissan memperkenalkan teknologi untuk mengautomasikan proses tersebut dan…
Berita Global
Foto dari: Us Secret Service   Latihan tersebut dijalankan di Pusat Latihan Perkhidmatan Rahsia…