Menariknya, Chery turut menawarkan pakej perlindungan jaminan sehingga 10 tahun dengan jarak perbatuan mencecah 1 juta km di samping jaminan lima tahun atau jarak perbatuan 150,000 km sebagai standard, termasuk pakej servis lima tahun atau jarak perbatuan sehingga 60,000 km.

Dari segi kuasa, Chery Tiggo 8 Pro didatangkan dengan nadi 1.6 liter TGDI yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 194 hp dan daya kilas 290 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan dan sistem pacuan roda depan.
Penampilan luaran Chery Tiggo 8 Pro ini membawakan bahasa rekaan 'Movement Design' dengan rekaan gril hadapan yang diinspirasikan daripada galaksi, unit lampu LED matrix 'Tiger Eye', serta unit lampu nyalaan siang LED yang agresif.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster instrumen digital, dibantu dengan skrin infotainmen tengah bersaiz 10.25 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, diikuti dengan tempat duduk balutan kulit dan sistem penapisan udara gred N95.
Secara standard, Chery Tiggo 8 Pro hadir dengan enam unit beg udara, sistem kamera keliling, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, serta sistem pemantauan tekanan tayar digital.

Dalam perkembangan terbaharu, Chery dikatakan bakal muncul kembali di pasaran Malaysia dengan membawakan beberapa buah model menarik.
Antara calon kenderaan yang bakal muncul di tanah air termasuklah Tiggo 8 Pro, Tiggo 7 Pro, Tiggo 4 Pro, serta kereta elektrik mikro eQ1.