Keadaan itu sekali gus menimbulkan kemarahan pengguna media sosial dan penduduk mukim Tebrau yang bimbang dengan penularan wabak COVID-19, berikutan kilang terbabit dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi industri meneruskan operasi.
Pengguna media sosial turut mempertikaikan bagaimana kilang terbabit memperoleh kebenaran beroperasi.
Ini kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dilaporkan baharu membuka permohonan untuk syarikat yang sebelum ini tidak dibenarkan dibuka sepanjang Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP), meneruskan operasi semalam.
Pengguna media sosial juga melahirkan kebimbangan bahawa insiden itu mungkin melahirkan kluster baharu wabak COVID-19 di mukim Tebrau, jika ada antara pekerja tidak menyedari mereka menjadi pembawa virus berkenaan, apatah lagi mukim berkenaan semalam diumumkan berada dalam zon jingga.
Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan, berkata MITI masih melaksanakan kerja konfigurasi sistem permohonan untuk syarikat beroperasi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil, berkata beliau maklum dengan video yang ditularkan semalam itu.
“Perkara itu juga ada dibincangkan (dalam mesyuarat) Majlis Keselamatan Negara (MKN) malah perkara itu turut sudah dikemukakan kepada MITI bagi siasatan.
“Saya bimbang sangat hal ini. Namun pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah pergi ke premis kilang berkenaan untuk siasatan dan pemantauan,” katanya.
Tinjauan dilakukan di kawasan premis kilang terbabit pagi tadi, mendapati keadaannya terkawal, berbanding semalam dengan hanya segelintir pekerja dilihat memasuki premis itu, malah kereta peronda polis juga berada di hadapan kilang berkenaan.
BH