Tahun 2018 memang merupakan tahun terbaik buat pembuat automotif super mewah Rolls-Royce yang kini dimiliki oleh BMW, dengan 4,107 unit kenderaan telah berjaya diedarkan ke seluruh dunia.
Ia ditambah lagi dengan pengenalan model SUV Cullinan yang berjaya menggalakkan lagi trend pemilikan SUV di kalangan mereka yang sudah tidak tahu ke mana mahu menghabiskan duit berkepuk-kepuk.
Permintaan yang memberangsangkan daripada para pelanggan terhadap Cullinan, sehinggakan menurut CEO Rolls-Royce, Martin Fritches memberitahu mereka masih bertungkus lumus untuk menyiapkan tempahan SUV tersebut.
Bercakap kepada Automotive News, walaupun mereka sudah menambah bilangan tenaga pekerja sebanyak 200 orang, dan operasi pengeluaran kini mencapai 100%, Rolls-Royce masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Difahamkan, SUV yang baharu sahaja diperkenalkan tahun lalu kini sudah penuh ditempah sehingga bulan Julai ini, dan ia masih tidak menghalang orang ramai (baca: orang kaya) daripada terus menempah Cullinan.
Fakta menarik yang diperoleh menunjukkan kebanyakan pembeli Cullinan sudah pun mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Rolls-Royce Dawn atau Phantom di dalam garaj mereka.
Baca: Tidak ada satu unit Cullinan yang sama spesifikasi - CEO Rolls-Royce