Ia membawakan bentuk badan roadster yang dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris 659 cc, dan rupa paras yang agak comel.
Acara Japan Mobility Show 2023 yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini bakal menampilkan sebuah Copen serba baharu, yang diberikan nama Daihatsu Vision Copen.

Walaupun ia membawakan nama yang sama, akan tetapi usah tertipu kerana Vision Copen ini bukan lagi dikategorikan dalam segmen keicar.
Sebaliknya, Vision Copen kini menyamai dimensi kereta sports pacuan roda belakang Mazda MX-5, dengan ukuran sepanjang 3,835 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,265 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,415 mm.
Sebagai perbandingan, Daihatsu Copen generasi kedua berukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,280 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,230 mm.

Seperkara lagi, ia kini mampu menjadi pesaing sebenar kepada Mazda MX-5 kerana Vision Copen kini merupakan sebuah kereta sports pacuan roda belakang!
Enjin asal 660 cc telah dibuang jauh dan digantikan dengan nadi 1.3 liter yang lebih besar dan lebih bertenaga, walaupun angka sebenar masih lagi dirahsiakan oleh Daihatsu.
Cuma sayang sekali, Vision Copen tidak mendapat kotak gear manual, sebaliknya hanya dibekalkan dengan transmisi automatik sahaja.

Menurut Daihatsu, enjin 1.3 liter itu telah dibangun supaya mampu menerima suapan bahan api neutral karbon.
Rekaan kabin Vision Copen ini dilihat lebih berorientasikan pemandu, di mana ia menampilkan roda stereng yang lebih ringkas, skrin kluster digital, serta konsol tengah yang menampilkan butang kawalan sensitif sentuhan.
Lebih banyak butiran lanjut berkenaan Daihatsu Vision Copen ini bakal diketahui menjelang acara Japan Mobility Show yang bakal berlangsung kelak.