Dua lelaki lari daripada pemeriksaan polis ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Polis menahan dua lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan kenderaan yang dipandu melawan arus sehingga melanggar beberapa buah kenderaan di Kilometer 20.9 Lebuhraya Kajang SILK, pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian pada 7.18 malam itu, kedua-dua suspek berumur 30 dan 31 tahun, yang menaiki kenderaan jenis Isuzu D-Max warna perak dikejar sehingga 300 meter sebelum berjaya ditahan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek, pihak polis menjumpai beberapa peralatan disyaki boleh digunakan untuk melakukan kesalahan jenayah pecah rumah dan curi kabel," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zaid berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan menerusi pemeriksaan rekod kesalahan lampau, masing-masing didapati mempunyai 20 dan empat rekod yang melibatkan kes-kes jenayah dan narkotik.

Menurutnya kedua-dua suspek kini dalam tahanan direman sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri semasa pemeriksaan polis, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua lelaki itu turut disiasat di bawah Sek 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah, yang boleh dihukum denda maksimum RM200 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohd Zaid berkata mereka juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukan dadah ke dalam badan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp Muhammad Tasnim Mohamed Nor di talian 014-6209960.

 

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Katanya, video berdurasi 60 saat itu menunjukkan sebuah kereta jenis Myvi warna kelabu dipandu…
Berita Domestik
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat…
Berita Domestik
"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 10 pagi Khamis di Kilometer 35 Lebuhraya Link Kedua…