Contoh yang paling terbaharu muncul merupakan E-Legend EL1 dan seperti yang anda jangkakan ia merupakan satu penghormatan buat jentera ikonik Audi Sport Quattro S1.
Rekaan luaran EL1 menampilkan unit lampu hadapan berpetak, hud dengan tiga liang udara, serta lampu belakang LED seakan Dodge Charger, sementara keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim lima jejari yang diinspirasikan daripada sukan rali.
Sementara ruang kabin pula menempatkan sehingga empat skrin utama, dimana dua daripadanya merupakan skrin paparan untuk bahagian sisi kenderaan.
E-Legend EL1 menggunakan teknologi senibina 800 voltan yang sama digunakan pada Porsche Taycan, dan menampilkan tiga motor elektrik di mana satu untuk gandar hadapan dan dua lagi untuk gandar belakang.
Secara keseluruhan, EL1 mampu menghasilkan 804 kuasa kuda dengan kuasa pecutan 0-100 km/j dalam 2.8 saat, serta pecutan ke 200 km/j dalam masa kurang 10 saat.
Pek bateri 90 kWh pula membenarkan jarak operasi sejauh 400 km, atau dua kali pusingan di Litar Nurburgring sekiranya ia dipandu secara serius dalam mod SportPlus.
Disebabkan ia menampilkan teknologi bateri yang sama seperti Porsche Taycan, EL1 dikatakan mempunyai keupayaan pengecasan pantas yang sama seperti Taycan.
Angka produksi EL1 dihadkan kepada 30 unit sahaja diperingkat global, dan harga jualan bermula dari €1 juta (RM4.94 juta) sahaja.
Selain daripada EL1, E-Legend turut merancang untuk menghasilkan dua buah model EV pada masa akan datang, iaitu EL2 (inspirasi daripada Lancia Stratos SF Stradale) dan EL3.