EV - Pengguna Australia berminat, tapi tak beli

oleh HEZERI SAMSURI|
Laporan terkini dari Australia menunjukkan bahawa walaupun jualan EV di Australia meningkat lagi untuk suku pertama 2024, masih ramai yang merasakan kenderaan sifar asap itu terlalu mahal dan prasarana pengecasan masih kurang.

Menurut laporan Australian Automotive Dealer Association (AADA), sekiranya negara itu mahu meningatkan penjualan EV, tanggapan pembeli tempatan di sana perlu bertukar.

Statistik jualan bagaimanapun menunjukkan bahawa jualan EV sebenarnya meningkat untuk suku pertama tahun 2024. 

Ia naik kepada 46.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan 8.3 peratus jualan kenderaan baharu dalam waktu empat bulan itu adalah terdiri dari EV.

Kajian Kenderaan EV dan Hibrid dari Zing Insight yang melibatkan 2,000 orang pemandu Australia berkaitan kenderaan yang mereka pandu sekarang dan kenderaan yang mereka bakal beli menunjukkan 57 peratus beranggapan kereta EV terlalu mahal.

Mereka juga hanya mahu membayar sehingga lapan peratus lebih tinggi untuk EV berbanding harga kenderaan berenjin petrol.

Seramai 50 peratus responden pula berkata kekurangan stesen pengecasan dan prasarana untuk EV adalah punca utama mereka belum mahu membeli kenderaan genre itu.

Lebih kurang 44 peratus risau rumah mereka tidak ada pengecas yang diperlukan untuk EV sementara 17 peratus memberi alasan harga jual balik yang rendah sebagai alasan untuk tidak membeli EV.

Bagaimanapun 67 peratus dari mereka yang terbabit dalam kajian itu menyatakan bahawa mereka berminat dengan EV kerana ia sifar asap dan ini baik untuk alam sekitar.

Kos operasi yang lebih rendah adalah alasan paling popular dan semakin menjadi alasan utama kenapa mereka menyukai EV.

Untuk keputusan lengkap kajian itu, layari laman web Car Expert Australia.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Chua Kim Soon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk PIAM, insurans kenderaan mencatat…
Informasi
Menurutnya, tanpa penyelarasan kukuh antara kementerian dan pemain industri, usaha memperluas…
Berita Global
ID. Unyx 08 ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula sekitar USD33,300 hingga USD42,000 (…