Fernando Alonso uji Toyota 'Hailak', bakal sertai rali Dakar?

oleh Muhammad Md Tajudin|
Fernando Alonso adalah pelumba kereta yang dinamik. Beliau juara dua kali Formula 1 dan di dalam tempoh 17 musim perlumbaan, Fernando memandu untuk empat pasukan iaitu Minardi, Renault, McLaren dan Ferrari.

Menariknya sepanjang tempoh tersebut, dua kali Fernando Alonso menyertai Renault iaitu dari 2003 hingga 2006 dan 2008 hingga 2009. Beliau juga mewakili McLaren sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2007 dan 2015 hingga 2018.

Selepas bersara daripada Formula 1 pada musim terakhir 2018, Fernando giat mencuba perlumbaan lain dan ternyata keputusan beliau membuahkan hasil.

Fernando bersama pasukan Toyota GAZOO Racing memenangi Kejuaraan Perlumbaan Ketahanan FIA (WEC) sebanyak dua kali berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019. Beliau juga juara 24 Jam Daytona pada tahun 2019.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Fernando Alonso

 

Apa lagi yang ingin dicapai Fernando? Pelumba berusia 38 tahun itu dan Toyota GAZOO Racing bakal berganding bahu di dalam ujian Toyota Hilux, pikap yang dijangka digunakan pada perlumbaan rali Dakar tahun depan.

Dalam tempoh lima bulan akan datang Fernando bakal bekerjasama dengan Toyota GAZOO Racing dan pasukan rali Dakar di bawah penala tersebut bagi mengikuti program latihan intensif menggunakan Toyota Hilux di serata Eropah, Afrika dan Timur Tengah bagi membiasakan diri di dalam perlumbaan rali jarak jauh.

Fernando yang juga juara dua kali Le Mans 24 jam akan mengasah skil pemanduan off-road yang diketahui sangat berbeza dengan perlumbaan di litar dan penuh dengan cabaran.

Mengikut perancangan, Fernando akan membuat ujian di padang pasir di Selatan Afrika pada bulan Ogos dan seterusnya merasai perlumbaan Harrismith 400 di Selatan Afrika pada pertengahan bulan September.

 

Fernando Alonso

 

Kenderaan buatan Toyota adalah pilihan popular dengan lebih satu perempat pemandu persendirian dan pasukan tajaan penuh (works team) berada di dalam senarai kategori kereta pada rali Dakar 2019.

Suatu yang manis apabila Toyota Hilux cemerlang di tangan Nasser Al-Attiyah, pelumba rali terkenal daripada Qatar yang mewakili pasukan Toyota GAZOO Racing memenangi kejuaraaan keseluruhan rali Dakar pada awal tahun ini.

Rali Dakar adalah perlumbaan ulung di dalam sukan permotoran dan pertama kali dianjurkan pada tahun 1978. Siri 2019 dianjurkan di Amerika Latin dan akan berpindah ke Arab Saudi pada tahun 2020.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Fernando Alonso

 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Penawaran Ducati DesertX tersebut telah dikemaskini untuk model tahun 2023 dengan membawakan liveri…
Berita Global
Namun tahukah anda, Porsche pada asalnya mahu menggunakan nama ‘Safari’ pada model 911 off-road ini…
Gaya Hidup
Berita baik, anda sebenarnya berpeluang untuk memandu salah sebuah kenderaan yang pernah digunakan…