Tidak seperti Ford F-150 standard, F-150 Lightning menggunakan rangka serba baharu dan disebabkan itu ia menggunakan sistem suspensi bebas bagi menggantikan gandar hidup belakang.
Dari segi dimensi, jarak antara roda F-150 Lighting bertambah 2.54 mm, dimensi panjang bertambah 25.4 mm, lebar bertambah 2.54 mm sementara tinggi kabin pula bertambah sebanyak 43 mm.
Jarak kelegaan tanah pula berukuran 226 mm, sedikit rendah berbanding model F-150 standard.
F-150 Lightning datang dalam bentuk badan tunggal - SuperCrew empat pintu - dengan bed belakang sepanjang 1,676 mm dan boleh disesuaikan dengan beberapa trim seperti XLT, Lariat dan Platinum, serta varian aras mula yang dihasilkan khusus untuk pasaran komersial.
Dari segi kuasa, F-150 Lightning mendapat motor elektrik berkembar yang memacu semua roda, di mana versi standard berupaya menghasilkan 426 hp dan versi paling berkuasa pula datang dengan output 563 hp.
Dengan daya kilas sebesar 1,051 Nm, trak pikap elektrik ini mampu memecut bawah empat saat dari 0-96 km/j, keupayaan menunda beban seberat 3,175 kg sehingga 4,536 kg (versi lebih berkuasa), serta had muatan sehingga 907 kg.
Disebabkan ketiadaan enjin, ruang kosong di hadapan boleh memuatkan barangan sehingga 400 liter.
Kapasiti pek bateri tidak diumumkan, namun versi standard dikatakan mampu menawarkan jarak operasi sejauh 370 km sementara versi yang lebih besar kapasitinya mampu membenarkan trak ini dipandu sejauh 483 km.
Secara standard, Ford F-150 Lightning didatangkan dengan pengecasan mudah alih 32-amp, sementara versi jarak jauh pula datang dengan kelengkapan pengecasan 80-amp yang membenarkan bateri dicas penuh dalam masa 8 jam sahaja.
Dengan pengecasan pantas 150-kW pula, Ford F-150 Lightning boleh mencapai kapasiti 80 peratus bateri (daripada 15 peratus) dalam tempoh sependek 41 minit sahaja.

Sebagai sebuah kenderaan utiliti, terdapat lapan outlet AC 120 voltan yang menawarkan output sehingga 2.4 kW yang boleh didapati di dalam kabin, trunk hadapan, serta bed belakang, sementara varian yang lebih tinggi pula membenarkan output setinggi 9.6 kW dan tambahan dua outlet 120V dan satu outlet 240V.
Trak pikap elektrik ini juga boleh digunakan untuk menyalurkan kuasa kepada rumah kediaman selama tiga hari ketika keputusan bekalan elektrik, dan sistem akan kembali mengecas bateri trak setelah bekalan pulih semula.
Dari segi kelengkapan kabin, Ford F-150 Lightning menawarkan skrin paparan digital 12 inci, skrin infotainmen SYNC 4A berukuran 15.5 inci dengan sokongan kemaskini over-the-air, serta ciri keselamatan termaju seperti BlueCruise (kawalan jelajah bebas tangan), Pro Trailer Hitch Assist, serta peranti pintar sebagai kunci.
Sementara ciri penimbang terbina pula membolehkan pemilik mendapatkan anggaran jarak operasi yang lebih tepat berdasarkan berat beban yang dimuatkan pada bed belakang.
Harga jualan di Amerika Syarikat bermula dari $52,974 (RM219,365) sementara versi komersial pula bermula dari $39,974 (RM165,532).