Terbaharu, Ford dilapor sedang menguji teknologi geolokasi (geofencing) yang mampu mengurangkan kelajuan kenderaan secara automatik di lokasi tertentu seperti di depan sekolah, hospital dan juga pusat membeli belah.

Dengan mencipta sebuah sempadan maya mengikut geografi sesebuah kawasan, ia mampu mengehadkan kelajuan kenderaan supaya tidak melebihi had yang telah ditetapkan.
Apabila sesebuah kereta memasuki kawasan yang telah dihadkan kelajuannya, sistem ini akan memberikan amaran kepada pemandu menerusi skrin paparan kluster digital.

Ford percaya sistem ini mampu memudahkan urusan pemandu yang mungkin tidak begitu biasa dengan jalan-jalan baharu, atau di dalam kes di mana pemandu tidak sedar papan tanda had laju, sekaligus mengelakkan mereka daripada disaman dan mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tersebut.
Sistem geolokasi ini sedang diuji dalam tempoh 12 bulan di Jerman dengan kerjasama antara pasukan Ford City Engagement, pihak berkuasa bandar Cologne dan Aachen, serta jurutera perisian Ford di Palo Alto.

Pada masa akan datang, Ford mahu menawarkan sistem Geofencing Speed Limit Control ini bukan sahaja untuk kenderaan komersial, malah diperluas kepada segmen kenderaan penumpang, di mana pemilik boleh menetapkan sendiri zon dan had laju yang dirasakan perlu.
Menurut Ford, sistem pengehad kelajuan ini adalah bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan semasa, seperti contoh bahaya di atas jalan, kerja-kerja pembaikan ataupun zon masa.