Untuk menjadikan cerita ini lebih menarik, laman web Allcarnews baru-baru ini memaparkan gambar intipan (spyshot) yang mendedahkan imej sebenar Mitsubishi Outlander tanpa sebarang pelekat samaran.
Seperti yang diberitakan sebelum ini, Mitsubishi Outlander berkongsi platform dengan Nissan X-Trail/Rogue, namun hadir dengan elemen yang sinonim pada kereta Mitsubishi yang lain (Dynamic Shield).
Dari sudut hadapan, Outlander baharu ini tampak lebih moden dan gagah, terima kasih kepada rekaan lampu terpisah yang kemudian diikuti dengan elemen tiang A yang digelapkan bagi menampakkan efek terapung.
Bahagian sisi Outlander ini terus menjarakkan diri daripada elemen X-Trail/Rogue apabila tingkap suku belakang diberikan elemen bumbung terapung yang sama, diikuti dengan lampu belakang bentuk serba baharu.
Dari segi kuasa, terdapat beberapa laporan yang mencadangkan Mitsubishi bakal menggunakan enjin empat silinder sebaris berkapasiti 2.4 liter yang dibantu dengan sistem PHEV yang membenarkan jarak sifar emisi sejauh 70 km.
Disebabkan ia berkongsi platform dengan Nissan Rogue, kemungkinan besar ia bakal menampilkan enjin 2.5 liter yang digandingkan dengan CVT, serta sistem pacuan roda hadapan dan semua roda.
Sumber: Allcarnews