Ia diposisikan di dalam segmen B, bermakna ia bakal memberikan saingan secara terus kepada model seperti Toyota Vios dan Honda City.
Dari segi dimensi, Geely Emgrand 2022 membawakan ukuran sepanjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1,460 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Secara tidak langsung, Geely Emgrand menjadikan Honda City dan Toyota Vios nampak lebih kecil di atas kertas, ditambah pula dengan penerapan beberapa elemen moden seperti contoh rekaan gril hadapan, serta grafik pada unit lampu belakang.
Secara standard, Geely Emgrand didatangkan dengan lampu utama halogen projektor, lampu DRL LED, rim bersaiz 15 inci dengan tayar bersaiz 195/65, sistem infotainmen bersaiz lapan inci, skrin MID 3.5 inci, diikuti dengan kemasan hitam pada ruang kabin.

Untuk varian teratas pula mendapat kelengkapan yang lebih moden seperti lampu projektor LED, rim bersaiz 17 inci dengan tayar 205/50, kemasan warna biru dan putih untuk ruang kabin, enam pembesar suara, bumbung suria, upholsteri kulit palsu dan suede, serta skrin kluster digital 12.3 inci.
Ciri keselamatan termasuklah ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX, serta tambahan kamera undur, penderia parkir belakang, dan kawalan jelajah untuk varian yang lebih tinggi.
Dari segi kuasa, Geely Emgrand dikuasakan oleh enjin 1.5 liter aspirasi natural yang mampu menghasilkan 102 PS dan 142 Nm, dipadankan dengan transmisi manual atau CVT.

Harga jualan bermula dari PHP 798,000 (RM64,925) sehingga PHP 908,000 (RM73,874) untuk dua varian tertinggi, sementara harga untuk varian asas hanya akan diumumkan kelak.