Ini bermakna, nama XV yang digunakan di sesetengah pasaran akan terus digugurkan daripada senarai.
Kehadiran Crosstrek baharu ini juga sedikit sebanyak turut memperlihatkan rupa paras generasi baharu hatchback Impreza yang dijadualkan bakal muncul menjelang akhir tahun ini.

Subaru Crosstrek 2023 menggunakan pelantar Subaru Global Platform (SGP) yang sama seperti model sedia ada, sebelum diserikan dengan penggayaan baharu diikuti dengan unit lampu LED yang lebih tajam rupanya di depan, dan lampu belakang berbentuk C.
Casis walau bagaimanapun telah dinaiktaraf supaya menjadi lebih tegar serta menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang lebih tajam.
Pembinaan kerangka dalaman penuh didakwa mampu untuk mengurangkan gegaran dan kelenturan badan, manakala penggunaan perekat baharu dan tapak tempat duduk pula membantu mengurangkan bunyi bising dan getaran.

Dari segi dimensi, Crosstrek 2023 membawakan ukuran sepanjang 4,480 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm, sedikit besar berbanding model XV.
Jarak kelegaan tanah adalah sekitar 200 mm, dan pengendalian dibantu oleh penggunakan sistem suspensi bebas di bahagian depan dan belakang.
Rekaan cladding badan (beserta liang ventilasi di belakang roda depan) mengingatkan kita kepada model sedan WRX, sementara pembeli boleh mendapatkan rim aloi bersaiz 17 atau 18 inci.

Tiada lagi skrin kecil yang bertenggek pada bahagian atas papan pemuka seperti yang terdapat pada model XV, sebaliknya segala fungsi yang ada dipaparkan sebelum ini telah dimasukkan terus ke dalam skrin tengah bersaiz 11.6 inci potret yang turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar.
Tidak ketinggalan, kawalan iklim juga turut diintegrasikan sekali ke dalam skrin tersebut.
Untuk Crosstrek, ia tidak didatangkan dengan skrin kluster digital, sebaliknya masih lagi mengekalkan meter analog dengan kehadiran skrin kecil di antara dial tersebut.

Antara ciri moden yang terdapat termasuklah brek parkir elektrik, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta kamera 360 darjah dengan paparan tiga dimensi.
Untuk pasaran Jepun, Subaru Crosstrek akan ditawarkan secara eksklusif dengan trenkuasa hibrid e-Boxer yang terdiri daripada enjin 2.0 liter NA dan motor elektrik tunggal, transmisi CVT dan sistem pacuan semua roda.
Angka output masih lagi dirahsiakan.

Kelengkapan keselamatan termaju turut dimuatkan seperti brek kecemasan autonomi dengan sokongan di persimpangan, bantuan pengekalan lorong, kawalan jelajah adaptif dan banyak lagi.
Menurut Subaru, sistem keselamatan Crosstrek ini menampilkan unit kamera stereo dengan sudut pandangan lebar, serta kamera mono sudut lebar yang membolehkan sistem mengesan kehadiran pejalan kaki dan penunggang motosikal dengan lebih berkesan.
Subaru Crosstrek 2023 dijangka mendarat di pusat pameran Jepun bermula tahun depan.