Tak ramai tahu tetapi tahun ini, Toyota Hilux akan menyambut ulangtahunnya yang ke-50.
Hilux, yang bermaksud High and Luxury (tinggi dan mewah) dilancarkan pada bulan Mac tahun 1968.
Ia adalah trak pikap Toyota selepas Toyota Stout (1960) dan Hino/Toyota Briska (1961).
Direka oleh Toyota tetapi kemudian dibangunkan dan dibina di kilang Hamura milik anak syarikat Toyota, Hino Motors Ltd, Hilux lebih kompak dan lebih modern dari trak-trak lain.
Enjin Hilux generasi pertama ini menggunakan enjin 1.5L (1,490 cc, OHV, 4-silinder) dengan kuasa maksimum 70 PS pada 5,000 rpm, digandingkan dengan transmisi manual 4-kelajuan dikawal dari tuil di stereng (column shifter).
Ia adalah sebuah RWD atau pacuan roda belakang sahaja dan sistem gantungan sama seperti sekarang - double wishbone dengan pegas gegelung (coiled spring) di hadapan dan pegas dedaun (leaf spring) di belakang.
Hilux ini mampu memuatkan tiga penumpang dan mampu membawa beban seberat 1,000 kg. Dua varian diperkenalkan - Deluxe yang mempunyai spesifikasi kabin seperti sebuah kereta dan Standard yang sesuai untuk trak kerja.