Honda Civic Type R FL5 2023 rasmi mendarat di Malaysia, 319 PS, 420 Nm, dari RM400k

oleh Mohamad Hanif|
Setelah sekian lama menerjah pasaran dunia, hot hatch yang paling dinanti-nantikan peminatnya iaitu Honda Civic Type R 2023 kini rasmi masuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Difahamkan, hanya 19 unit sahaja Honda Civic Type R yang akan dibawa untuk tahun ini, dan pelanggan yang berminat boleh menempah segera, kerana kami menjangkakan model ini akan habis terjual dalam masa yang singkat.
 

Civic Type R


Dari segi kuasa, Honda Civic Type R FL5 mengekalkan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter K20C1, namun kini dengan hamburan kuasa 319 PS dan 420 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan.

Tidak seperti model terdahulu, rupa paras Civic Type R FL5 kini menjadi lebih ringkas dan matang tanpa kehadiran liang-liang udara palsu.
 

FL5


Akan tetapi, aspek aerodinamik jentera hot hatch ini telah ditambah baik dengan bukaan jeriji yang lebih besar di bahagian hadapan, dibantu dengan spoiler agresif di belakang.

Identiti tiga tip ekzos Civic Type R turut dikekalkan di bahagian tersebut.

Biarpun saiz dimensi bertambah besar, akan tetapi Civic Type R FL5 ini menggunakan rim bersaiz 19 inci dengan balutan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 265/30 ZR19, berbanding rim 20 inci pada model terdahulu.
 

FL5


Selain daripada itu, Civic Type R FL5 kini menerima peningkatan berat badan, di mana ia kini seberat 1,430 kg, atau 40 kg lebih berat berbanding FK8.

Sistem brek pula menggunakan unit angkup monobloc empat omboh yang dibekalkan oleh Brembo.

Susun atur ruang kabin Civic Type R tidak banyak berubah berbanding model Civic standard.
 

FL5


Antara kelainan yang diberikan termasuklah tempat duduk sports berwarna merah, skrin kluster digital dengan dua paparan berbeza (normal/+R), roda stereng balutan Alcantara, tombol gear manual, dan plak bernombor yang dipasang pada jeriji sarang lebah papan pemuka.

Honda Civic Type R 2023 merupakan unit import sepenuhnya daripada Jepun, di mana ia merupakan model Type R yang pertama dipasang di negara Matahari Terbit untuk dieksport ke serata dunia.

Kenapa?
 

c


Ini kerana kilang asal pemasangan Honda Civic Type R di Swindon, UK telah pun ditutup buat selama-lamanya, dan dengan angka produksi Civic Type R yang terhad menyebabkan ia tidak sesuai berkongsi kilang pengeluaran di Amerika Syarikat.

Harga jualan Civic Type R 2023 bermula dari RM399,900.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Namun begitu kami yakin ia mampu dicapai berdasarkan rekod jualan yang baik bagi tahun lalu yang…
Berita Domestik
Pencapaian tersebut menjadikan Honda Malaysia kekal kedudukan nombor satu dalam negara untuk…
Berita Domestik
Sebagai varian yang paling tinggi dalam penawaran SUV CR-V generasi baharu, CR-V e:HEV RS…