Dari segi luaran, perbezaan yang terlihat tidak terlalu ketara walaupun terdapat beberapa perubahan seperti gril baharu, bampar dengan perincian tambahan di bawah (hanya varian V datang dengan lampu kabus), rim aloi 16-inci baharu dengan tayar 195/60, antena “shark fin” serta bampar belakang dengan pemantul cahaya menegak.
Kelengkapan di bahagian kabin pula, ia didatangkan dengan pencahayaan kabin, penapis kabin, pendingin hawa automatik, sistem tanpa kunci dan butang Push Start yang standard. Tetapi bagi varian V pula, ia menerima sistem paparan audio tujuh-inci baru, kerusi kulit dengan perincian merah, paddle shifter serta tombol gear kemasan merah.
Seperti sebelum ini, Honda BR-V ini diberikan kuasa enjin 1.5-liter SOHC i-VTEC dengan 120 PS, 145 Nm tork dan transmisi CVT.
Dari segi keselamatan ia masih mengekalkan dua beg udara di bahagian hadapan, ABS dengan EBD, dua Isofix di barisan kedua serta tujuh tali keledar tiga-poin.
Ia mempunyai ruang kargo berkapasiti 223 liter dan sekiranya kerusi di barisan ketiga dilipatkan keluasan ruang kargo mencecah sehingga 539 liter .
Honda Malaysia turut memperkenalkan dua kempen bantuan masyarakat. Kempen Be Kind With BR-V, adalah di mana bagi setiap unit BR-V yang terjual, Honda Malaysia akan menyalurkan sebahagian daripada hasil tersebut ke program bantuan COVID-19.
Manakala menerusi kempen ‘Honda Dealer Donation Drive’, pelanggan Honda boleh mengunjungi pengedar terdekat mereka untuk menyumbangkan barang keperluan asas seperti makanan kering atau barangan rumah. Sumbangan yang terkumpul akan dihantar kepada komuniti yang terjejas di kawasan yang terdekat. Kedua-dua kempen ini dijalankan sehingga 31 Ogos 2020.