Ya, walaupun menggunakan nama WR-V yang sama wujud di Malaysia, tapi Honda WR-V pasaran Jepun secara asasnya merupakan Honda Elevate yang sebelum ini telah dilancarkan di pasaran India.
Dimensi antara kedua-dua WR-V ini agak berbeza, di mana WR-V Jepun (Elevate pasaran India) memiliki dimensi yang lebih besar, dengan ukuran sepanjang 4,312 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda 2,650 mm.
Untuk perbandingan, Honda WR-V pasaran kita membawakan dimensi 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,576 mm dan jarak antara roda 2,485 mm.
Kapasiti ruang kargo juga agak berbeza, di mana WR-V Jepun menawarkan ruang sebesar 458 liter berbanding 380 liter pada WR-V Malaysia.
Honda Jepun tidak mendedahkan perincian spesifikasi, namun SUV itu dilapor membawakan nadi 1.5 liter i-VTEC (112 PS/145 Nm) yang dipadankan dengan transmisi CVT, memacu roda depan.
Susun atur ruang kabin juga dilihat sama sahaja dengan apa yang ditawarkan oleh Honda Elevate di India, seperti contoh skrin sentuh 10.25 inci, skrin kluster digital tujuh inci, sistem pendingin hawa automatik, serta tempat duduk balutan fabrik.
Secara standard, Honda Jepun turut membawakan fungsi telematik Honda CONNECT, serta kelengkapan keselamatan Honda SENSING untuk WR-V baharu ini.
Terdapat tiga varian utama dengan lima warna yang boleh dipilih, dengan harga jualan anggaran bermula bawah 2 juta yen (RM62 ribu).
Honda WR-V 2024 akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Disember ini, dan akan mendarat di pusat pameran di seluruh Jepun pada musim bunga tahun depan.