Trackhawk - ingat nama ini. Nama ini akan mengingatkan anda pada pertama kali anda terbaca tentang Jeep Grand Cherokee yang bakal digeruni oleh SUV-SUV lain.
Ia menggunakan enjin berprestasi tinggi Hellcat V8, yang berupaya menghasilkan sebanyak 707 hp dan 875 Nm tenaga tork - suatu jumlah luarbiasa bagi sebuah SUV seberat 2.4 tan.
Trackhawk berupaya memecut dari berdiri ke 100 km/j dalam hanya 3.5 saat, suatu pencapaian yang sebelum ini hanya milik kereta-kereta supercar eksotik dan ringan. Jurutera Jeep juga berjaya mengekalkan sistem pacuan empat roda pada varian istimewa ini, dengan hubungan kotak gear lapan kelajuan automatik.
Enjin Hellcat V8 berkapasiti 6.2 liter jenis supercharged pada Trackhawk ini hanya sedikit rendah dari segi kadar tenaga tork daripada enjin Hellcat yang digunakan pada kereta sports Dodge Challenger dan Charger SRT. Ini ialah kerana jurutera Jeep ingin memelihara kelanjutan usia enjin pada Trackhawk.
Dengan tenaga tork yang tinggi ini, Trackhawk boleh menarik berat sehingga 3.2 tan. Kelajuan maksimum ialah 290 km/j.
Oleh kerana prestasi memecut dan kelajuan luarbiasa SUV ini, sistem breknya telah dinaiktaraf ke cakera bersaiz 400 mm jenama Brembo pada tayar depan dan 350 mm pada tayar belakang. Menurut Jeep, Trackhawk berupaya berhenti dari 100 km/j pada jarak 34 meter.
Sesuai dengan personaliti berprestasi tinggi Trackhawk, ruang dalamnya menampilkan papan pemuka yang mengarah ke tempat duduk pemandu, dengan meter kelajuan pusingan enjin serta skrin berukuran 8.4 inci diletakkan di tengah panel instrumen.
Kemasan kerusi penumpang diperbuat dari kulit Nappa dan juga sued.
Dari luar, niat agresif Trackhawk jelas dipertunjukkan dengan lubang-lubang laluan udara tambahan dan ruang roda yang menyelubungi tayar bersaiz 20 inci. Bampar belakang pula memaparkan paip ekzos berkembar dua yang berwarna gelap, sesuai dengan tema lasak Jeep ini.