JPJ - 70% daripada 881 individu hilang upaya kembali memandu

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Sebanyak 70 peratus daripada 881 individu yang kehilangan upaya disebabkan angin ahmar, lumpuh atau kehilangan anggota badan, kembali memandu dengan selamat menerusi Program Rehabilitasi Memandu dan Menunggang Motosikal atau Return to Drive, pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, daripada jumlah itu, 65 peratus merupakan penunggang motosikal dan bakinya merupakan pemandu kereta, yang menjalani program rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2018.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

"Melalui program ini, individu terlibat perlu menjalani penilaian pramemandu dan menunggang motosikal menggunakan simulator memandu dan latihan atas jalan menggunakan kenderaan diubah suai.

"Laporan hasil penilaian Fit to Drive tersebut, memenuhi standard serta keperluan JPJ... dengan laporan itu, pegawai perubatan Pusat Rehabilitasi Perkeso akan membuat pengesahan pada borang pemeriksaan kesihatan, bagi permohonan lesen memandu orang kurang upaya (OKU) kepada pihak JPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2023, yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Hasbi berkata, tempoh rehabilitasi memandu yang perlu dijalani setiap individu berkenaan itu berbeza, bergantung kepada tahap kecederaan dan kesembuhan mereka, namun secara purata tempoh berkenaan antara 40 hingga 90 hari.

Beliau berkata, penilaian yang dijalankan ke atas individu terbabit melibatkan pelbagai aspek, antaranya ketangkasan serta refleks dan ia penting bagi memastikan mereka benar-benar dapat memandu dengan selamat, sekali gus mengelakkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Saya menyokong sepenuhnya program ini, kerana ia bukan sahaja dapat membantu golongan OKU untuk kembali memandu dengan selamat, malah lebih penting memastikan golongan berkenaan dapat meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki dengan lesen memandu yang sah,” katanya.

Mengulas mengenai Sambutan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia, beliau berkata, ia bagi memperingati mangsa serta waris mangsa yang kehilangan dan menderita akibat kemalangan jalan raya, selain satu manifestasi solidariti global dalam usaha meningkatkan kesedaran umum berhubung kepentingan keselamatan jalan raya, serta usaha untuk mempertingkatkan bantuan kepada mereka yang terkesan.

Hasbi berkata, tema sambutan tahun ini ialah menerokai sistem keadilan berhubung jalan raya yang meliputi penguatkuasaan undang-undang, penyiasatan kemalangan, pendakwaan, jenayah, tuntutan dan pampasan.

"Program ini juga menjadi citra terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya di negara kita,” katanya.

 

- Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Perkhidmatan percuma ini melibatkan sektor Lembah Klang dan utara serta perkhidmatan Shuttle…
Berita Domestik
Jelasnya, perkara itu telah dipersetujui Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, namun…
Berita Global
    Menurut laporan United Press International (UPI), di bawah perjanjian itu, Uber dikehendaki…