Sistem Dynamic Sound Yamaha Premium itu merangkumi lapan pembesar suara, dengan sepasang tweeter pada tiang A (A-pillar), dua woofer pada pintu hadapan dan dua pembesar suara jenis co-axial pada pintu belakang.
Pemproses Yamaha pula memastikan mutu audio dalam keadaan paling optimum, walaupun XForce sedang dipandu laju atau dibawa di kawasan yang kasar.
Ia juga mempunyai empat mod audio untuk dipilih - Lively, Signature, Powerful dan Relaxing.
Careta bertanyakan kepada Mitsubishi, adakah penggunaan sistem audio premium ini akan menjanjikan tambahan jualan XForce ini untuk Mitsubishi.
Menurut presiden dan CEO Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Takao Kato, penggunakan sistem audio premium Yamaha itu tidak akan menjamin tambahan jualan tetapi ia akan membezakan XForce dari pesaing-pesaing yang lain.
"Kebanjiran pesaing dari China juga adalah antara punca kenapa kami mahu mencuba penggunaan sistem audio premium ini. Kami mahu produk-produk kami sentiasa berdaya saing dan sentiasa di hadapan," tambah beliau.
Adakah anda rasa sistem audio premium mampu menarik minat pembeli atau menjadi faktor pembelian anda? Kongsikan dalam platform media sosial Careta!