Mitsubishi ASX 2024 dilancar di Eropah, enjin sekecil 1.0 turbo dan kotak gear manual!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mitsubishi ASX 2024
Mitsubishi ASX 2024
Mitsubishi ASX Eropah berbeza dengan pasaran lain kerana dijenamakan semula dari Renault Captur.

Jika diikutkan, ASX Eropah masih baharu selepas diperkenal pada September 2022 dan dilancar pada Mac 2023. 

Namun itu bukan faktor penentu bagi Mitsubishi Mitsubishi Motors Europe B.V. memperkenalkan ASX 2024 dengan rupa baharu.

Keputusan itu munasabah kerana Renault baru sahaja memperkenalkan Captur 2024 pada awal April lalu.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024
 Mitsubishi ASX 2024 Eropah

 

Captur menggunakan rupa depan baharu dan begitu juga ASX dan kali ini lebih serius dalam membezakannya. Bampar dan jeriji ditukar baharu dan bukan sekadar perubahan kecil.

Lampu besar kekal sama dan begitu juga lampu nyalaan siang (DRL) pada sisi bampar dan dibezakan dengan corak nyalaan.

Rupa depan ASX direka bagi menyerlahkan lagi identiti Dynamic Shield Mitsubishi dan bingkai jeriji bawah yang condong mengingatkan kepada ASX dan Lancer sebelum ini.

Sisi kereta sama seperti Captur termasuk rim 18 inci untuk varian terpilih. Terdapat perbezaan kecil seperti riasan pada dapra dan jaluran bingkai pintu warna krom.

 

 Mitsubishi ASX 2024 Eropah

 

Bahagian belakang tidak berubah dengan lampu sepit ketam dan dibezakan melalui tulisan Mitsubishi yang melintang sepanjang pintu but.

Bahagian dalam mirip Captur kecuali kemasan dan kelongsong beg udara stereng. Skrin tengah berukuran 10.4 inci dan model Mitsubishi pertama dilengkapi Google built-in.

Dari segi keselamatan, varian terpilih dilengkapi Bantuan Parkir yang mengesan lokasi parkir secara automatik dan membantu meletak kereta di dalam garaj, secara berdepan atau sisi.

Varian terpilih turut dilengkapi Peringatan Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

 

Mitsubishi ASX 2024 Eropah

 

Berkenaan rangkaian kuasa, ASX boleh dipesan dalam versi hibrid penuh (HEV), mild hybrid dan enjin petrol biasa.

Model HEV menggabungkan enjin petrol 1.6 liter dengan dua motor motor elektrik (penghidup pengulangalik dan motor utama), kotak gear automatik pelbagai mod dan bateri 1.2 kWj.

Satu fungsi canggih pada model HEV ialah mod E-SAVE yang membantu menjimatkan tenaga bateri untuk kegunaaan kemudian.

Dengan mengekalkan tahap bateri pada kadar minimum 40 peratus, tenaga disimpan untuk pemanduan EV atau jika diperlukan bagi membantu enjin sebagai contoh ketika mendaki.

 

Mitsubishi ASX 2024 Eropah

 

Model mild hybrid pula terdiri daripada enjin 1.3 liter turbo pancitan terus dengan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik dua cekam tujuh kelajuan.

Satu lagi pilihan ialah enjin 1.0 liter turbo yang dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan.

Sama seperti Captur, model Mitsubishi ini dipasang di kilang Renault di Valladolid, Sepanyol dan dikeluarkan bermula Mei dan berada di bilik pameran terpilih di Eropah pada Jun.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mitsubishi ASX 2024 Eropah

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan asal daripada Nikkei Asia, syarikat itu kini sedang melakukan perbincangan akhir…
Berita Global
Difahamkan, Mitsubishi Motors juga turut mengumumkan pembukaan pra-tempahan untuk SUV yang belum…
Berita Global
Keadaan ini memaksa Mitsubishi Motors untuk menghentikan terus pengeluaran kenderaan di sana, dan…