Menurut laporan daripada Reuters, sumber yang merupakan dua orang pegawai kerajaan itu memberitahu langkah tersebut dipertimbangkan setelah Tesla memohon pengurangan cukai yang dikenakan ke atas EV di negara tersebut.
Untuk kenderaan elektrik dengan nilai di bawah $40,000 (RM169,140) - termasuk kos, insurans dan pengangkutan - kerajaan India sedang berbincang untuk mengurangkan kadar cukai daripada 60 peratus kepada 40 peratus.
Namun untuk EV yang bernilai lebih daripada $40,000, kadar cukai 100 peratus itu mungkin akan dikurangkan kepada 60 peratus, ujar mereka lagi.
India merupakan pasaran automotif kelima terbesar di dunia dengan jumlah jualan kira-kira 3 juta kenderaan setahun, dengan majoriti kereta yang dijual di bawah julat harga $20,000 (RM84,570).
Namun, segmen kenderaan elektrik hanyalah merangkumi peratusan kecil daripada jumlah keseluruhan, dan kesan terhadap langkah pengurangan cukai ke atas segmen EV mewah tidak mendatangkan impak yang begitu ketara, menurut pakar industri.
Sebelum ini, Tesla mendakwa dengan pengurangan duti import, lebih banyak EV mewah bakal dijual di India, namun pegawai kerajaan memberitahu Reuters, "langkah pengurangan cukai tidak menjadi masalah, akan tetapi kami tetap mahukan manfaat daripada langkah tersebut, selain berlaku adil kepada pemain domestik.
Menurut CEO Tesla dalam satu hantaran di Twitter memberitahu, Tesla berkemungkinan besar akan membangunkan kilang pemasangan di India sekiranya mereka berjaya memujuk kerajaan untuk mengurangkan duti import ke atas EV.
Sumber: Reuters