Trenkuasa plug-in hybrid yang diperkatakan ini merangkumi penggunaan enjin turbo empat silinder sebaris yang mampu menjana 178 hp dan 265 Nm, dipadankan dengan motor elektrik (90 hp/304 Nm) menjadikan angka output keseluruhan adalah sekitar 261 hp dan 350 Nm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda menerusi transmisi automatik enam nisbah kelajuan, membenarkan kuasa penuh enjin dan motor elektrik disalurkan serentak bagi mengurangkan kadar kehilangan kuasa.
Ini menjadikan kuasa pecutan adalah serta-merta dalam apa jua kelajuan, malah kuasa bateri tersebut boleh digunakan pada bila-bila masa.
Walaupun trenkuasa PHEV ini merupakan unit yang paling bertenaga, ia juga menjanjikan kadar penggunaan tenaga yang paling efisien, dan jarak operasi sifar emisi yang membolehkan anda memandu dalam jarak yang dekat tanpa menggunakan setitik petrol.
Pun begitu, Kia tidak mendedahkan secara rasmi angka emisi CO2 serta jarak operasi sifar emisi untuk model Sorento PHEV ini.
Dari segi ruang, pembeli Kia Sorento PHEV akan menikmati keluasan kabin yang hampir serupa dengan Kia Sorento standard, di mana platform asal ini telah pun dioptimasikan untuk memuatkan trenkuasa elektrifikasi.
Kesannya, pek bateri boleh diposisikan di bahagian bawah lantai sekaligus menjanjikan ruang kabin dan ruang barang yang hampir sama besar baik dalam konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk.
Sebagai contoh, Kia Sorento Hybrid mampu menawarkan ruang sebesar 179 liter dengan tujuh tempat duduk ditegakkan, manakala Kia Sorento PHEV (dengan tujuh tempat duduk ditegakkan) pula sedikit kecil - 175 liter sahaja.