Lagi kes mabuk - pemandu Mini Cooper ditahan gagal larikan diri

oleh Mohamad Hanif|
Seorang lelaki ditahan selepas cuba melarikan diri dalam Op Mabuk di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini pada jam 10 malam Sabtu.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu lelaki yang memandu kereta jenis Mini Cooper berkenaan enggan memberhentikan kereta malah memecut laju kenderaannya.

Menurutnya, polis mengejar lelaki tersebut sehingga ke Taman Robena iaitu kira-kira lima kilometer dari BORR.

"Ketika mengejar kereta lelaki tersebut, dia yang memandu secara melulu dan laju telah melanggar sebuah kereta Perodua Myvi dan terbabas di tepi jalan. Lelaki tersebut yang panik bertindak keluar dari keretanya dan cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, polis berjaya menahan lelaki berusia 48 tahun itu untuk siasatan lanjut. Ujian mendapati jumlah alkohol padanya melebihi had ditetapkan, malah ketika ditahan, dia masih berada dalam keadaan mabuk," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Noorzainy berkata, dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah.

Tambahnya, pemandu kereta dan penunggang motosikal itu disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menahan enam remaja lelaki berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun kerana terlibat dalam kegiatan lumba haram.

"Enam lelaki ditahan termasuk tiga pelajar sekolah (dua Tingkatan Empat dan seorang Tingkatan Lima) dan mereka ini didapati sedang berlumba secara haram di BORR sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Mereka menunggang secara bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi menundukkan badan seperti 'superman' dan zigzag bermula dari Kilometer 8.6 hingga 6.4 menghala Perai. Tindakan mereka ini telah membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Tambahnya, kesemua remaja itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Rang Undang-undang Rumah “House Bill” 393, pemandu mabuk yang disabitkan dengan pembunuhan…
Berita Domestik
  Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal…
Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, semasa mangsa sedang…