Bukan kami mahu kasihankan Lamborghini atas pemilihan nama itu, akan tetapi ia membawa petanda bahawa model terkini dari Lamborghini itu merupakan supercar produksi hibrid elektrik pertama serta arah tuju syarikat pengeluar dari Itali itu pada masa akan datang.
Lamborghini Sian dibangunkan berdasarkan platform Aventador dan hadir dengan penawaran enjin aspirasi natural 6.5 liter dengan gandingan sistem mild-hybrid yang membawakan kuasa keseluruhan 808 hp!
Sistem mild-hybrid berkuasa 48 voltan ini membolehkan motor elektrik (34 hp) yang dipasang pada kotak gear bagi menghasilkan respons yang lebih cepat dan prestasi yang memberangsangkan.
Motor elektrik ini juga boleh digunakan bagi tujuan pemanduan kelajuan rendah, terutama ketika mengundur dan memasuki kawasan parkir dengan hanya menggunakan tenaga elektrik semata-mata.
Tidak seperti supercar hibrid yang menggunakan pek bateri bagi menyimpan sumber tenaga, Lamborghini Sian menggunakan superkapasitor yang mana ia menghasilkan tiga kali lebih kuasa dan lebih ringan berbanding bateri lithium-ion.
Bagi memastikan pengagihan berat badan yang optimum, superkapasitor ini diposisikan di antara kabin dan juga ruang enjin.
Sistem brek regeneratif yang dibangunkan secara in-house oleh Lamborghini turut menggunakan kelebihan yang ada pada superkapasitor, di mana tenaga yang terhasil mudah untuk disimpan atau digunakan secara terus untuk tujuan pecutan.
Kembali semula kepada nadi V12 itu tadi, ia turut menerima talaan seperti penggunaan injap kemasukan baharu yang diperbuat daripada titanium dan mampu menjana 774 kuasa kuda.
Dengan bantuan sistem mild-hybrid itu tadi, output gandingan dicatatkan pada angka 808 hp dan mampu memberikan pecutan sepantas 2.8 saat (0-100 km/j) dengan kelajuan tertinggi 350 km/j.