Langgar lari - Kontraktor didakwa memandu berbahaya, sebabkan kematian dua beradik

oleh Penyumbang Rencana|
Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Selasa atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beradik, Jumaat lalu.

Tertuduh, Lee Kin Peng, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya Ahmad Marikh, 13.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kilometer 38, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, antara jam 7 hingga 7.15 pagi, pada 5 April lalu.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM10,000 dan RM50,000, jika sabit kesalahan.

 

Timbalan Pendakwa Raya S Vitthiyeswary menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan di samping beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam S. Morgan yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 untuk kedua-dua tuduhan kerana anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan di samping perlu menanggung seorang isteri dan tiga anak yang masih belajar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran, dilarang mengganggu saksi yang juga pekerjanya dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada Jumaat, dua beradik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam nahas langgar lari di Kilometer 38 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran dengan simpang Taman Desa Salak, kira-kira jam 7.12 pagi.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Hanya dalam tempoh 10 minit, insiden tersebut melibatkan sebuah van awam, sebuah bas francais dan…
Berita Domestik
Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41, Azharul Azuan Mohd Azan, 34, Tengku Izham Tengku Hamid, 22,…
Berita Domestik
"Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan lelaki itu yang boleh…