Menurut laporan daripada rakan media Paultan, mereka telah berjaya mendapatkan informasi daripada pengedar tempatan di mana hanya varian empat tempat duduk sahaja yang bakal ditawarkan iaitu Lexus LM 350.
Harga jualan pula dianggarkan bermula dari RM1,148,000 atas jalan tanpa insurans, sedikit murah berbanding model Lexus yang paling mahal pada ketika ini, LC 500 Convertible.
Untuk makluman, Lexus LM telah pun dilancarkan di Thailand pada bulan Mac yang lalu di dalam konfigurasi empat dan tujuh tempat duduk, diikuti pasaran Indonesia pada bulan Jun.
Seperti yang diketahui, Lexus LM secara asasnya merupakan sebuah Alphard yang telah dicurahkan segala elemen kemewahan yang sinonim dengan jenama Lexus, dimulakan dengan penampilan gril hadapan spindle, diikuti dengan rekaan bumper belakang serba baharu dan padanan lampu belakang LED.
Sebagai sebuah varian tertinggi, Lexus LM dengan empat tempat duduk ini diberikan ruang kabin belakang yang terpisah daripada ruang pemandu hadapan, menampilkan sebuah dinding yang menempatkan skrin bersaiz 26 inci, dan sistem bunyi Mark Levinson 19 pembesar suara.
Dua tempat duduk belakang mempunyai ciri busa AdaptiPedic dan boleh dibaringkan mengikut keperluan, selain menawarkan fungsi urut, dan kehadiran butang kawalan, serta ruang peti sejuk di bahagian tengah.